Antara madah pembuka bicara yang saya suka sampaikan dalam pertemuan-pertemuan awal, adalah berkenaan Islam dan Kufur yang dijelaskan oleh Abul ‘Ala Al-Maududi dalam bab 1 Asas-asas Islam.
Walaupun hal-hal berkaitan perkara ini kelihatan seperti amat simple, namun konsep yang ingin dijelaskan oleh Al-Maududi, saya rasa masih ramai yang belum memahaminya. Saya sendiri mendapat pemahaman yang wadith tentang konsep ini hanya selepas mendengar Asas-asas Islam iaitu setelah 25 tahun hidup sebagai muslim!
Sungguh indah konsep yang dibawa, sehingga dengan memahaminya, kita akan dapat merasakan bahawa muslim adalah majoriti di negara Jepun dan bukannya kafir.
Islam adalah penyerahan secara total kepada Allah s.w.t. Ia adalah kata kerja dan bukannya kata nama Am bagi sebuah agama. Dengan berislam, bermakna kita tunduk dan patuh kepada semua suruhan dan perintah Allah. Ini bukan termaktub kepada manusia sahaja, malah semua makhluk di alam ini termasuk pokok, batu, planet, anggota badan manusia, harimau, kucing yang tunduk dan patuh kepada perintah Allah, maka mereka ini adalah muslim. Kalau peraturan bagi manusia yang Allah tetapkan dinamakan syariah, peraturan bagi makhluk lain dinamakan sunnatullah.
Seperti mana rasulullah s.a.w yang sedih dan hampir putus asa kerana penduduk mekah tidak mahu menerima Islam, Allah hiburkan baginda dengan membuka hijab penglihatan rasulullah sehingga dapat melihat batu-batu dan pokok-pokok yang sedang bertasbih kepada Allah s.w.t. Dengan itu rasulullah mula mendapat semangat baru, kerana sedar bahawa beliau bukan berseorang muslim, tapi masih ramai lagi muslim yang sebenarnya menjadi majoriti di Mekah.
Dalam berislam ini terbahagi kepada 2, ada islam ijtibari dan islam ikhtiari. Ijtibari bermakna paksaan, mengambil sempena sifat Allah iaitu al-Jabbar manakala ikhtiari bermakna pilihan. Nik Aziz suatu ketika dahulu pernah mengulas tentang sifat al-Jabbar dan memberikan satu translation yang mudah difahami iaitu, samseng. (walaupun hal ini menimbulkan polemik yang cukup hebat di akhbar perdana Malaysia) Tetapi, apabila ditanya kepada ustaz yang berkafaah bahasa Arab, memang itu translation yang paling tepat. Al-Jabbar bermaksud yang memaksakan sesuatu keatas sesuatu, walaupun yang dipaksa itu tidak rela.
Misalnya Allah mencabut nyawa seseorang walaupun orang tersebut dan ahli keluarganya tidak rela. Ataupun membuat gempa bumi di China sehingga meragut banyak nyawa. Semua itu di sebut sebagai ijtibari. Tetapi perlu ingat, Allah adalah Allah, bukannya kita (makhluk). Dan menyamakan Allah dengan makhluk adalah sesuatu yang tidak sepatutnya kita buat. Seperti mana dalam hadis qudsi di bawah, takbur adalah untuk Allah, tapi bukan untuk manusia.
Dalam hadis Qudsi, Allah berfirman (mafhumnya); “Takbur itu pakaian Aku (ia layak bagi Aku), maka sesiapa dari makhluk-Ku yang memakai pakaian ini (takbur), maka akan Ku humban dia dalam neraka-Ku.”
Berbeza dengan islam ikhtiari, ikhtiari bermakna islam dengan pilihan sendiri. Dan pilihan ini hanya diberikan kepada manusia. Manusia bebas memilih samada mahu muslim ataupun tidak. Tetapi pastinya setiap pilihan akan ada akibatnya. Memilih muslim akan membawa kesenangan dan memilih kufur akan membawa kesengsaraan yang amat dasyat di akhirat nanti.
Sepertimana mata seorang kafir, walaupun orangnya kafir enggan tunduk kepada perintah Allah secara ikhtiari, namun matanya akan tetap tunduk kepada sunnatullah, misalnya berkelip setiap beberapa saat, kalau sedih atau sakit akan mengeluarkan air mata dan sebagainya. Tiada pilihan.
Cuma soalan saya, adakah bumi dan langit serta isi-isinya islam ijtibari, ataupun sebenarnya ikhtiari?
Apabila mendengar tajuk ini, saya menyangkakan bahawa islamnya alam ini adalah islam ijtibari, bermakna tiada pilihan melainkan tunduk kepada sunnatullah. Tapi ternyata saya tersilap. Walaupun tiada pilihan, sebenarnya bumi dan langit telah membuat pilihan. Dan ianya satu pilihan yang bijak!
Kemudia Dia menuju ke langit dan (langit) itu masih berupa asap, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi, “Datanglah kamu berdua menurut perintah-Ku dengan patuh atau terpaksa.” Keduanya menjawab, “Kami datang dengan patuh”. (41:11)
Maha Suci Allah yang menurunkan al-Quran yang barakah. Terkedu saya apabila membaca ayat tersebut. Walaupun Allah tidak memberi pilihan untuk tidak patuh, tetapi langit dan bumi telah memilih untuk tunduk kepada sunnatullah dengan patuh. Mereka telah membuat pilihan yang bijak, untuk menjadi muslim.
So, apa pilihan anda?







Recent Comments