Risalah Selasa 3 Bahagian 1

Kita panjatkan puji syukur ke hadrat Allah swt. Kita ucapkan selawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad, untuk segenap keluarga dan sahabat baginda, serta siapa saja yang menyerukan dakwahnya hingga hari kiamat.

Saudara tercinta, saya sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari Allah, yang baik dan diberkati: Assalamu ‘alaikum Wa Rahmatullah Wa Barakatuh.

Anda semua tentu ingat. Saya pernah berjanji bahawa tema perbicaraan kita pada kajian malam ini ialah kitab Allah swt. Saya tidak bermaksud bahawa kajian-kajian ini mengupas semua hakikat ilmiah, perbezaan pendapat, atau kemungkinan berbagai-bagai penafsiran. Saya tidak bermaksud demikian. Hanya satu tujuan saya: saya ingin memudahkan jalan untuk memahami Kitabullah, bagi siapa yang membacanya. Saya ingin memaparkan kandungan isinya secara umum dan membukakan pintu pemahaman terhadapnya.

Barangkali anda sekalian, wahai Saudaraku, ingat sebuah pepatah yang mengatakan, “Barangsiapa mengenal dirinya, ia mengenal tuhannya.” Jadi, jika Anda mengenal diri Anda dengan sebenar-benarnya dan mengerti kedudukan yang diberikan oleh Tuhan kepada Anda, Anda dapat menunaikan hak diri anda dan hak Tuhan anda. Dengan demikian anda akan sampai kepada ma’rifatullah.

“Dan di dalam diri kalian, tidakkah kalian melihat?” (Adz- Dzaariyat: 21).

Saudaraku, saya ingin agar kita berusaha supaya dapat melihat, di manakah kedudukan kita sebagai manusia? Apakah kewajiban kita ketika berada dalam kedudukan ini? Kita ingin mengetahui kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada kita, agar kita dapat menunaikan hak diri kita dan setelah itu kita juga mengetahui hak Allah terhadap kita.

Saudaraku, ketika kita mengupas tema ini dari sudut ini, maka kita mendapati bahawa ia berkisar kepada satu pokok persoalan, iaitu kisah Adam as. Saya yakin, kisah ini terdapat dalam beberapa tempat dalam Al-Qur’an: di dalam surah Al-Baqarah, Al-A’raf, Al-Hijr, Al-Isra’, Thaha, Shad, dan Ar- Rahman. Dalam surah-surah ini, terdapat informasi yang benar mengenai penciptaan manusia.

Saudaraku, Anda melihat bahawa Allah swt menyebut manusia dalam banyak surah di dalam Al-Qur’an.

Dalam surah Al-Baqarah,

“Bagaimana kalian kufur kepada Allah, padahal kalian tadinya mati, lantas Allah menghidupkan kalian, kemudian kalian dimatikan dan dihidupkan kembali, kemudian kepada Allah-lah kalian dikembalikan.” (Al-Baqarah: 28)

Dalam surah yang sama juga disebutkan,

“(Ingatlah) ketika Tuhan-mu berkata kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di bumi.’ Mereka berkata, ‘Apakah Engkau akan menjadikan di bumi orang yang akan berbuat kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan memahasucikan-Mu?’ Allah ber-firman, Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Al-Baqarah: 30)

Inilah kisah manusia dalam Al-Qur’an, sebagaimana yang digambarkan oleh surah Al-Baqarah. Dalam surat Al-A’raf, pemaparan mengenai hal ini lebih meluas,

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat, ‘Bersujudlah kamu kepada Adam!’, maka mereka pun bersujud kecuali Iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.
Allah berfirman, ‘Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?’
Iblis menjawab, ‘Saya lebih baik daripadanya; Engkau menciptakanku dari api sedangkan ia Engkau ciptakan dari tanah.’
Allah berfirman, ‘Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina.’
Iblis menjawab, ‘Berikan saya sampai waktu mereka dibangkitkan.’
Allah berfirman, ‘Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi masa bertangguh.’
Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan menghalangi mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).’
Allah berfirman, ‘Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi mereka dan kamu semuanya ke dalam neraka jahanam.
Dan engkau, wahai Adam, bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu jika kamu mendekatinya, maka kamu berdua termasuk orang-orang yang
zalim.’
Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya, dan syaitan berkata, “Tuhan kamu tidak melarangmu mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (di dalam syurga).’
Dan syaitan bersumpah kepada keduanya, ‘Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua.’
Maka syaitan memujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya, Tatkala keduanya telah merasakan buah pohon itu, tampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun surga.
Kemudian Tuhan mereka menyeru, ‘Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon itu dan Aku katakan kepadamu, “Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu berdua?”‘
Keduanya berkata, ‘Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.’
Allah berfirman, ‘Turunlah kalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan.’
Allah berfirman, ‘Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dan bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.’”
(Al-A’raf; 11-25)

Maha benar Allah Yang Maha Agung.

Ayat-ayat ini memaparkan kisah Adam as. dengan sedikit terperinci. la memaparkan dialog antara Allah swt. dengan syaitan. Ia mengupas sebab yang menjadikan syaitan tersesat, iaitu kesombongan serta sebab yang menjadikan Adam tergelincir dalam kesalahan, iaitu terperdaya oleh syaitan.

Saudaraku, Anda juga boleh mendapatkan deskripsi(penceritaan) seperti ini di dalam surah Al-Hijr dengan sedikit terperinci. Ayat-ayat tersebut memaparkan penciptaan manusia yang dilakukan oleh Allah swt. dari tanah kering yang berasal dari lumpur hitam yang dibentuk. Kemudian bagaimana Allah menyempurnakannya dan meniupkan roh ke dalamnya. Kemudian Allah memerintahkan kepada para malaikat agar bersujud kepadanya, kepada suatu rahsia Ilahi yang lembut dan berzat ketuhanan ini. Maka para malaikat pun bersujud, kecuali iblis yang menyatakan bahawa dirinya tidak mahu bersujud kepada manusia yang diciptakan dari tanah kering yang berasal dari lumpur hitam yang dibentuk. Iblis hanya ingat kepada bahan mentahnya(api) sahaja, tetapi ia lupa bahawa bahan mentah itu tidak bernilai apa-apa kecuali setelah ditiupkan roh-Nya ke dalamnya. Iblis adalah makhluk yang sombong, kerana itu Allah Yang Maha besar membutakannya daripada pengetahuan tentang rahsia yang kerananya ia diwajibkan bersujud. Kerana itu, ia pasti ditimpa laknat.

bersambung…

2 Responses to “Risalah Selasa 3 Bahagian 1”


  1. 1 rocketingrabbit July 15, 2008 at 1:56 pm

    ok…sile2…nk mntk izin linkkn blog ni jugak ye..

  2. 2 cluewangman July 16, 2008 at 6:27 pm

    “Barangsiapa mengenal dirinya, ia mengenal tuhannya”…
    mg kite sentiase muhasabah diri kite..dan x sombong spt iblis.. sesugguhnye kite adlh hamba Allah..
    moga tabah hati,x berbelah bg:-)


Leave a Reply