Tidak pantas bagi seseorang yang benar-benar mengakui pejuang al-Haq untuk berlepas pandang terhadap hakikat alam di sekelilingnya. Dia perlulah meneliti dan memahami tabiat alam dengan sebenar-benarnya. Sudah menjadi risalah agungnya untuk memastikan bahawa alam ini bergerak selari dengan harakat (pergerakan) yang ditentukan oleh Penciptanya. Kegagalan memerhatikan dan tidak peduli akan tabiat harakat alam, bermakna dia sedang cuba melepaskan diri dari amanahnya dan meredhai perbuatan tangan-tangan Taghut yang bebas mengawal arah tuju pergerakan alam menurut al-Hawa mereka.
Allah memberi amaran keras kepada setiap manusia untuk berlindung daripada azabNya yang akan menimpa bukan sahaja kepada penyembah-penyembah Taghut bahkan kepada orang-orang Islam yang lalai daripada amanahnya iaitu mengembalikan harakat alam ke tabiat asalnya.
“Takutilah olehmu akan fitnah (azab bencana) yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di kalangan kamu dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaannya” (Anfal, 8:25)
Kerana amanah yang agung inilah manusia telah dimuliakan oleh seluruh penghuni langit apabila mereka diperintahkan untuk sujud kepada manusia. Tetapi makhluk yang bernama manusia itu lalai dan telah melupakan amanahnya. Kemuliaannya kini telah dirampas akibat leka dengan perhiasan dunia, tak ubah seperti kanak-kanak yang asyik dengan permainannya di tadika-tadika asuhan.

Ammu Sayyid Qutb telah menafsirkan tabiat harakat alam pada zamannya seperti mana yang terungkap dalam pembukaan karya agungnya yang telah menjadi titik peralihan bagi pemikiran pergerakan Islam, Ma’alim Fith Thariq; kejatuhan blok-blok pemuja Taghut yang bernama komunisme dan sosialisme mendesak kepada satu kuasa baru yang dapat mengembalikan maruah umat manusia yang pernah dimuliakan oleh penghuni langit suatu masa dulu. Kuasa itu tak lain dan tak bukan adalah kuasa yang berpandukan seluruhnya kepada Al-Quran.
Kini zaman kejatuhan komunisme dan sosialisme itu sudah berlalu dan giliran kejatuhan empayar kapitalis blok barat yang semakin ketara pada masa ini seharusnya memberi hint kepada pejuang al-Haq bahawa masa depan itu benar-benar milik Islam sekiranya kita dapat kembalikan harakat alam menurut Penciptanya. Tetapi sunnah harakat alam itu perlulah difahami dengan sebenar-benarnya agar kita tidak dibayangi oleh khayalan kita sendiri. Ini telah pun diungkapkan oleh Ammu Sayyid Qutub bahawa jarak antara kebangkitan dan memegang tampuk alam bukanlah satu perjalanan yang dekat. Tetapi sekurang-kurangnya realiti alam masa kini seharusnya mengunjurkan harapan kepada pejuang al-Haq bahawa kejatuhan kita hanyalah gerhana, dan mentari al-Haq itu pasti akan menyinari alam kembali, inshAllah.
Allah Azzawajal sememangnya merupakan perancang utama di sebalik percaturan agung ini, tidak pantas Dia membiarkan pengikut-pengikut Firaun zaman moden untuk memandu harakat alam sewenang-wenangnya. Sudah menjadi sunnah alam bahawa yang berada di atas pasti akan jatuh. Kejahatan-kejahatan taghut Firaun moden tidak dapat tidak akan lambat-laun mendapat nasib yang sama seperti Firaun asli. Taghut itu pasti akan dipancung.
“Dan mereka (orang-orang kafir) membuat tipu daya, dan Allah pun membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.” (Al-Imran, 3:54)

Lantas persoalan yang akan timbul ialah siapa yang akan bangkit dan mampu memegang tampuk alam selepas kejatuhan empayar Firaun moden?
Si Ah Chong penternak lembu di Tanah Besar China sana kelihatan lebih bersedia untuk memegang tampuk khilafah alam. Hanya akibat susu lembunya yang sudah basi telah mampu menggegarkan dunia. Itu baru dengan susu. Kekuatan bangsa Ah Chong memang tidak dapat dinafikan. Sesiapa yang mempunyai aqidah yang kuat, amal yang tersusun dan berterusan sudah pastilah mampu mencapai segala cita-cita. Inilah sunnah alam yang tidak mampu disangkal.
Jadi di manakah watak manusia yang telah diagungkan oleh para Malaikat?
Ketika Pencipta alam menawarkan formula Al-Quran untuk manusia, mereka masih seperti orang buta yang mercari-cari haluannya sedangkan penyelesaiannya sudah berada di depan mata. Mustahil orang buta yang masih mencari-cari haluannya mampu memimpin alam. Umat manusia yang diberi jaminan Pencipta alam masih lagi mahu berpaut pada teori-teori rekaan manusia kononnya dapat menyelamatkannya dan lebih seiring dengan kehendak arus harakat alam. Pencipta alam sudah pun menawarkan penyelesaiannya dengan Al-Quran tetapi tawaran itu diperlekehkan dan diragui sedangkan tawaran ini telah pun berjaya dibuktikan oleh Nabi dan para sahabat. Mereka berjaya apabila memusatkan sumber aqidah mereka kepada Al-Quran semata-mata.
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka dengan agama yang telah Dia redhai. Dan dia benar-benar mengubah keadaan mereka, setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukanKu dengan sesuatu pun. Tetapi barangsiapa kafir setelah janji itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (An-Nur, 24:25)
Lalu adakah ada selain Al-Quran yang mampu memimpin dunia, dan memandu harakat alam selari dengan tabiat yang dikehendaki oleh Penciptanya?
Adakah kita mahu mengenepikan tawaran Pencipta Alam dan memberi wala’ kepada teori-teori manusia atau masih mahu mencampur-adukkan kedua-keduanya?




salam syawal dari bumi Dublin, Ireland. Rajin2, singgah la my blog.
mahaAllah, sodaqta! mari seiring mengorak langkah dengan titik tolak yang betul. Agak sampai ke matlamat (Allah) dan tepat destinasi perjalanan (memimpin umat manusia & seluruh Alam).
jazakallahu khoiran katheera.